40,000 Permohonan Tanah Setiap Tahun-Osman

Masalah tanah sudah menjadi salah satu isu utama yang dihadapi oleh penduduk Sabah sekian lama. Menurut pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Osman Jamal, kekurangan pegawai dalam Jabatan Tanah dan Ukur merupakan salah satu sebab pemprosesan permohonan tanah tidak dapat diselesaikan.

Hospital Universiti Malaysia Sabah Bakal Diwujudkan Tidak Lama Lagi

KOTA KINABALU, 8 Mei - Sebuah hospital universiti bakal diwujudkan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak lama lagi, kata Naib Canselor UMS, Prof Datuk Mohd Harun Abdullah.

Gabungan Muka Baru dan Lama Kabinet Sabah Wujudkan Pasukan Yang Kukuh, Dinamik

KOTA KINABALU, 10 Mei- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan barisan Kabinet negeri Sabah, yang menggabungkan muka lama dan baharu, sebagai pasukan yang kukuh, dinamik dan boleh bekerjasama bagi meneruskan perancangan dan pelaksanaan agenda dan dasar pembangunan negeri.

Selagi Diperlukan Oleh Rakyat, Teruskan Bekerja Untuk Mereka - Musa Aman

Kerajaan Barisan (BN) Sabah akan terus bekerja untuk rakyat dan tidak akan menunggu Pilihan Raya Umum Ke-14 untuk berbuat demikian, seperti yang diamalkan oleh parti-parti pembangkang di negara ini, khususnya di negeri ini.

TLDM Akan Terus Ronda Perairan Sabah

SIBU, 12 Mei- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan terus meronda perairan pantai timur Sabah walaupun Komand Keselamatan Sabah Timur (ESSC) yang menyelia keselamatan menyeluruh kawasan itu, telah mula beroperasi.

21 May, 2013

Keamanan dan Perpaduan Pemangkin Pembangunan Negara


Keamanan dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum adalah pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara. Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan memerlukan keamanan dan perpaduan.

Katanya, negara Malaysia khususnya di Sabah adalah modal kepada keamanan dan kemakmuran kerana perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini sudah sedia terjalin sejak dahulu lagi.

Pesta Kaamatan yang disambut pada setiap tahun adalah salah satu daripada landasan untuk memangkinkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di negeri ini. Ini kerana Pesta Kaamatan yang sinonim dengan masyarakat Kadazadusun Murut (KDM) bukan sahaja disambut oleh kaum ini tetapi ia turut disambut oleh masyarakat pelbagai kaum dan kepercayaan di negeri ini.

Justeru itu, sambutan Pesta Kaamatan yang diwarisi dari nenek moyang dan mula disambut secara besar-besaran pada tahun enam puluhan perlu dikekalkan sebagai landasan perpaduan disamping menjadi kayu pengukur kepada pencapaian masyarakat KDM dalam bidang pertanian khususnya penanaman padi.

Di kesempatan ini, McmDkk ingin mengucapkan "Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan" kepada seluruh rakyat Sabah terutamanya kaum KDM . Tidak lupa juga kepada para pengunjung setia blog ini. Mudah-mudahan negara kita akan sentiasa aman dan rakyat hidup bersatu padu.

Cadangan Cukai Berbeza Di Sabah dan Semenanjung

Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah adil hanya jika dilaksanakan di bawah 'satu negara,satu harga'. Jika tidak, rakyat di Sabah terpaksa membayar lebih daripada mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia disebabkan kos barangan yang lebih tinggi di Sabah.

Presiden Persekutuan Pengilang Sabah (FSM), Datuk Seri Panglima Wong Khen Thau mencadangkan kerajaan mengenakan peratusan GST yang lebih rendah bagi Sabah dan Sarawak jika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan cadangan tersebut.

Wong berkata bahawa barang-barang di Sabah adalah 20 hingga 30 peratus lebih mahal daripada Semenanjung. Jika 7 peratus GST yang dibayar sudah tentu akan menjadi lebih tinggi daripada mereka yang tinggal di Semenanjung Malaysia.

Jika kerajaan benar-benar mahu melaksanakan GST, Wong mencadangkan kerajaan mengenakan tujuh peratus di Kuala Lumpur, 4-5 peratus di Sabah dan mungkin tiga peratus di pedalaman.

Beliau berkata, pelaksanaan GST tujuh peratus akan meraih pendapatan tambahan sehingga RM27 bilion untuk kerajaan, seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata ia telah dilaksanakan di negara-negara maju.

"Tetapi Malaysia adalah sebuah negara dunia ketiga, ia hanya akan berlaku adil jika kita mempunyai 'satu negara, satu harga', seperti Singapura dan Australia."

Dalam hal ini, Wong menegaskan bahawa kerajaan perlu mengimbangi perbezaan harga di antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan kawasan-kawasan luar bandar.


Program "Jom Kita ke Sawah" Beri Kesedaran Di Kalangan Belia-Rosnah




PAPAR, 20 Mei- Belia di sini mengambil bahagian dalam program "Jom Kita Ke Sawah" untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik kepada kehidupan penanam padi.

Menyedari bahawa kebanyakan belia atau Generasi Y tidak pernah pergi ke sawah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sabah menganjurkan program bersama dengan Pejabat Daerah Papar di Kampung Rampazan, dekat sini semalam.

Pengarah Jabatan, Jasmi Rasit berkata program itu bertujuan untuk memupuk hubungan yang lebih kukuh dan kerjasama antara jabatan-jabatan kerajaan dan rakyat.

"Program hari ini membolehkan kita untuk lebih memahami kehidupan seorang petani, dan pada masa yang sama mempelajari proses yang terlibat dalam menuai padi dan alat-alat yang digunakan untuk aktiviti ini," katanya.

Rosnah berkata, program itu akan memberi pendedahan yang berharga dan pengalaman untuk golongan belia.

“Ramai di kalangan belia, terutama di kawasan bandar, berpendapat aktiviti penanaman padi hanya untuk warga tua sahaja, tetapi sebenarnya banyak faedah dan manfaat aktiviti ini dapat dipromosi di kalangan golongan muda,” katanya.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah dengan kerjasama Pejabat Daerah Papar itu bertujuan memupuk semangat kerjasama serta mempertingkat toleransi, keharmonian dan perpaduan selaras dengan pengukuhan jati diri bangsa Malaysia.

Rosnah berkata program sedemikian mampu merapatkan lagi hubungan dan interaksi antara pemimpin serta masyarakat berbilang kaum ke arah melahirkan masyarakat 1Malaysia yang penyayang, saling menghormati dan berbudi luhur. 

20 May, 2013

RM80,000 Sumbangan Petronas Kepada Wira Terkorban

KOTA KINABALU, 19 Mei- Petronas menyampaikan sumbangan berjumlah RM80,000 untuk keluarga kepada empat wira yang terkorban semasa Operasi Daulat bagi menghapus pengganas Sulu di pantai timur Sabah pada Mac.

Pengurus Besar Kanan Petronas Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata sumbangan itu sebahagian daripada derma RM200,000 oleh Petronas baru-baru ini.

"Petronas sentiasa prihatin terhadap usaha untuk memelihara keamanan dalam negara.

"Sabah adalah antara negeri yang begitu signifikan bagi Petronas dan kami turut kesal dan sedih dengan pertumpahan darah yang berlaku di Lahad Datu dan Semporna," kata beliau pada majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Tan Kok Liang.

Mereka yang menerima sumbangan ialah Jabah Anak Mingku, balu ASP Michael Padel; Sitti Bandorah Mahalil, balu Sarjan Abdul Azis; Sumiati Suarah balu Detektif Sarjan Baharin Hamit; dan Marlinah Utan, balu Korporal Salam Tugiran.BERNAMA

RM75 Juta Untuk Program 1Azam


SANDAKAN 19 Mei-Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah menyasarkan untuk membawa keluar 7,500 peserta program 1Azam (Akhiri Zaman Miskin) e-Kasih daripada belenggu kemiskinan tahun ini menerusi peruntukan berjumlah RM75 juta. Penolong Pengarah (Projek dan Bantuan) Kementerian itu Suzaili Sulaiman berkata program program 1Azam e-Kasih itu tahun ini lebih menumpukan kepada kursus kecantikan dan pembuatan kek yang boleh menjana pendapatan dalam tempoh 3 bulan. Sementara itu sekumpulan 40 peserta program 1Azam di sini, bertekad untuk berusaha sedaya-upaya memajukan diri dan keluarga bagi membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan.

Mereka yang menyertai Kursus Asas Keusahawanan dan Penyediaan Sajian selama 10 hari sejak 10 Mei lepas itu merupakan individu yang berdaftar dalam program e-Kasih dari kawasan Sandakan.

Seorang peserta, Hamidah Sahari, 44, bersyukur ada program seumpama itu yang mampu menambahkan lagi keyakinan dan semangat beliau untuk mencari jalan keluar daripada kesusahan dan kemiskinan.

Ibu kepada 11 anak itu masih menanggung lapan anaknya yang bersekolah, sementara suaminya telah bersara dan tidak mampu untuk bekerja.

"Saya hanya menerima tempahan kuih dan mengambil upah untuk menyara keluarga, sekarang saya betul-betul ingin berusaha dan mencari jalan agar saya mampu menyara anak-anak untuk terus bersekolah," katanya ketika ditemui Bernama.

Seorang lagi peserta, Norhayati Iskandar, 17, ingin menceburi bidang perniagaan dengan bantuan serta sokongan dan peluang yang diberi kerajaan melalui program seumpama itu.

Anak gadis itu yang hanya bersekolah setakat tahun lima juga tidak menganggap usia mudanya sebagai penghalang untuk menjadi usahawan berjaya.

"Saya merasakan perlu mengubah nasib dengan menceburi bidang perniagaan sebagaimana orang-orang lain yang majoritinya berjaya hasil daripada perniagaan sahaja," katanya.BERNAMA

19 May, 2013

Pesta Kaamatan Kukuhkan Hubungan Penduduk Di Sabah

Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun di Sabah telah mengukuhkan hubungan antara kaum di negeri ini. Tradisi ini mampu menyatukan masyarakat Kadazandusun dengan kaum-kaum lain di negeri ini.  Pesta sebegini sememangnya patut diberikan sokongan dan diraikan bersama oleh penduduk.

Ini adalah kerana tradisi, toleransi dan keharmonian di kalangan masyarakat tempatan sudah teguh. Jangan kita terpedaya dengan pihak yang cuba untuk memecahbelahkan apa yang kita telah pertahankan selama ini.  Rakyat mesti menolak unsur-unsur yang tidak diingini cuba untuk melemahkan keamanan di negeri ini.

Zakaria rasmi Pesta Kaamatan Peringkat Sandakan 2013.

RASMI PESTA KAAMATAN ... Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Haji Mohd Edris (tengah) bersama-sama Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk James Wong, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin, Ketua Umno Bahagian Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Puyon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting, Charles O Pang bersama-sama tetamu jemputan lain menuai padi tanda sempurnanya perasmian perayaan Pesta Kaamatan 2013Peringkat Daerah Sandakan kelmarin (18 Mei, 2013).

Charles menyumpit sasaran.

Sementara itu, Charles (kanan) mencuba bakatnya menyumpit yang merupakan antara acara tradisional Pesta Kaamatan di Sabah.

Zakaria melastik.

Zakaria yang juga wakil rakyat Gum-Gum (tengah) melastik objek (sasaran) salah satu jenis sukan tradisional dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM) di Sabah.

Selamat menyambut Pesta Kaamatan kepada rakyat di negeri Sabah. 

17 May, 2013

Undi Popular VS Jumlah Kerusi Mana Penentu Kuasa Parlimen

"KITA FAHAMI DAHULU SEBELUM MEMBANTAH, MALULAH DAN HORMATI RAKYAT"..



Pembangkang kini mendakwa mereka menang dan layak memerintah berdasarkan UNDI POPULAR kerana telah memperolehi jumlah undi yang lebih tinggi daripada BN. Inilah yang menjadi isu mengelirukan rakyat sebenarnya. Seperti yang kita tahu, undang-undang Malaysia menetapkan proses pilihan raya berdasarkan JUMLAH KERUSI yang dimenangi, bukan jumlah undi popular.

Berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi kumpulan majoriti di Dewan Rakyat layak menerajui Kerajaan Persekutuan, manakala majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri akan mengurus tadbir sesebuah Kerajaan Negeri.

Pada PRU-13, BN berjaya menguasai majoriti Dewan Rakyat dengan memenangi 133 kerusi Parlimen dan menawan semula Kedah dan Perak apabila menguasai majoriti kerusi dua Dewan Undangan Negeri berkenaan. Pembangkang yang sering mendakwa mereka pandai dan layak memerintah sepatutnya faham undang-undang negara ini dan jangan memalukan diri sendiri. Malulah dan hormatilah rakyat. Inikah yang ingin menjadi pemerintah yang tidak dapat menerima kekalahan. 
 

Pembangkang juga perlu tahu yang mana BN telah kehilangan beberapa kerusi di Sabah dan Pembangkang tidak dengar BN membangkitkan isu salah laku atas kekalahan tersebut, sebaliknya BN akan mengkaji kelemahan yang ada untuk membetulkannya. Itulah jiwa seseorang pemimpin dan pemerintah. Bukannya mengadakan demostrasi haram.

Sistem PRU di Malaysia bukanlah berdasarkan undi popular, tetapi keputusan menentukan majoriti adalah berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti yang bertanding. Tidak ada undang-undang kita menetapkan siapa yang mendapat undi popular akan berkuasa tapi yang tercatat hanyalah yang memenangi jumlah kerusi yang banyak akan berkuasa.

15 May, 2013

40,000 Permohonan Tanah Setiap Tahun-Osman


Masalah tanah sudah menjadi salah satu isu utama yang dihadapi oleh penduduk Sabah sekian lama. Menurut pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Osman Jamal, kekurangan pegawai dalam Jabatan Tanah dan Ukur merupakan salah satu sebab pemprosesan permohonan tanah tidak dapat diselesaikan.

Setiap tahun, 40,000 permohonan tanah diterima dan keupayaan kerajaan untuk memproses hanya 16,000 permohonan. Semua permohonan tanah yang telah dilakukan dalam talian telah dilaksanakan sejak tahun 2004, tetapi pemprosesan memerlukan banyak masa disebabkan permohonan bertindih. Menurut Osman, hanya permohonan untuk tanah dilakukan dengan sistem berkomputer tetapi pemprosesan perlu dijalankan secara manual dan ini mengambil banyak masa.

Dengan 40,000 permohonan setiap tahun, ia adalah mustahil untuk memproses permohonan dengan cepat. Tambahan pula, banyak perubahan dalam kerajaan pada masa lalu iaitu dari Usno, Berjaya, PBS dan kini kerajaan BN. Selain daripada permohonan bertindih, jabatan tersebut turut berhadapan dengan pertindihan dasar-dasar baru kerajaan hari ini. Lagi pula, tidak ada tertulis dalam undang-undang bahawa "whoever applies first will get it first", kata Osman.

Memang agak rumit isu berhubung dengan tanah ini. Mudah-mudahan kerajaan dapat mengambil langkah yang lebih efisien dan efektif bagi menyelesaikannya. Diharap juga kekurangan pegawai dalam Jabatan Tanah dan Ukur dapat diisi dengan segera sebagai salah satu penyelesaian kepada pemprosesan permohonan tanah yang semakin bertambah setiap tahun. 



 

Keputusan Rasmi PRU-13


Berikut adalah keputusan rasmi untuk Pilihanraya Umum Ke-13 yang telah diadakan pada 5 Mei 2013. Daripada keputusan ini Pakatan Rakyat berjaya mengekalkan 3 negeri iaitu kelantan, Pulau Pinang dan Selangor. Manakala Barisan Nasional berjaya merampas Kedah dan mengekalkan beberapa negeri yang dimenangi pada PRU-12.





PRU 13

B. NASIONAL

PAKATAN

BEBAS

NEGERI
P D P D P D P D

SABAH
25 60 22 48 3 11 0 1

SARAWAK
31 71 25 55 6 15 0 1

PERLIS
3 15 3 13 0 2 0 0

KEDAH
15 36 10 21 5 15 0 0

PULAU PINANG
13 40 3 10 10 30 0 0

PERAK
24 59 12 31 12 28 0 0

SELANGOR
22 56 5 12 17 44 0 0

MELAKA
6 28 4 21 2 7 0 0

N.SEMBILAN
8 36 5 23 3 13 0 0

JOHOR
26 56 21 38 5 18 0 0

PAHANG
14 42 10 30 4 12 0 0

TERENGGANU
8 32 4 17 4 15 0 0

KELANTAN
14 45 5 12 9 33 0 0

WILAYAH
13 - 4 - 9 - 0 -
**Rasmi : BN Menang 133, Pakatan 89

Sumber: www.sabahdaily.com

14 May, 2013

Sertai Sugandoi Kaamatan 2013!


Tinggal dua minggu lagi kaum KadazanDusun akan merayakan Pesta Kaamatan iaitu 30 dan 31 Mei. Inilah masa yang ditunggu-tunggu dalam bulan Mei ini.Sebenarnya bukan kaum KadazanDusun saja yang tidak sabar untuk menantikannya malah seluruh rakyat Sabah dan juga negara kerana dua hari ni merupakan cuti umum.

Salah satu acara yang memang tidak ketinggalan untuk dijalankan dalam perayaan ini ialah Sugandoi Kaamatan. Bagi penduduk daerah Tuaran dan daerah kecil Tamparuli, pertandingan Sugandoi Kaamatan akan diadakan pada 18 Mei bertempat di Dewan Keluarga Keturunan Damit (KKD), Tenghilan. Para peminat seni suara ada dipelawa dan dialu-alukan untuk menyertai pertandingan ini.

Apa yang menarik, pertandingan ini diadakan tanpa mengenakan apa-apa bayaran sebagai salah satu tarikan kepada para bakat yang ada. Mendaftarlah dengan segera sebelum tarikh tutup tiba iaitu pada 17 Mei, di mana pada tarikh tersebut juga saringan akan diadakan bermula jam 2 petang. Pertandingan akhir pula akan diadakan pada keesokan harinya, 18 Mei di mana kemuncak Kaamatan diadakan.

Penyelaras Pertandingan Fazohn Budan berkata, pertandingan itu diadakan bagi mencungkil bakat-bakat seni suara di daerah itu terutamanya golongan muda. Bagi mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung pertandingan itu bolehlah terus menghubungi Fazohn melalui nombor 014-8515989.

13 May, 2013

TLDM Akan Terus Ronda Perairan Sabah

 
SIBU, 12 Mei- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan terus meronda perairan pantai timur Sabah walaupun Komand Keselamatan Sabah Timur (ESSC) yang menyelia keselamatan menyeluruh kawasan itu, telah mula beroperasi.

Panglima Wilayah Laut Dua Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mohammad Rosland Omar berkata TLDM bekerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Operasi Marin dan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam meronda kawasan pantai.

"Oleh kerana Filipina akan mengadakan pilihan raya esok, kita perlu berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

"Kita tidak harus membiarkan kawalan kita reda walaupun keadaan di pantai timur Sabah kini kembali normal," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agong tahunan kelima Persatuan Bekas Tentera Laut Diraja Malaysia Sabah di Sibu, Ahad.

Rosland berkata perairan Sabah dikendali oleh 500 personel tentera laut, yang menunjukkan peningkatan tiga kali ganda dari kekuatan sebelumnya, sementara jumlah kapal ditambah daripada tiga kepada 10 kapal dan bot pintas.

"Saya percaya nelayan kita di perairan Sabah kini merasa lebih selamat dengan kehadiran kami," kata beliau.

Pada majlis itu, Rosland menyampaikan 'Pingat Jasa Malaysia' kepada 11 veteran tentera laut.BERNAMA

11 May, 2013

Lima Muka Baharu Dilantik Sebagai Anggota Jemaah Menteri Sabah

KOTA KINABALU, 10 Mei- Lima muka baharu dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri Sabah yang menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini Jumaat.

Mereka ialah Datuk Teo Chee Kang, Datuk Radin Malleh, Datuk Siringan Gubat, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan dan Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mendahului istiadat penyerahan watikah pelantikan dan angkat sumpah, diikuti Datuk Yahya Hussin dan Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Anggota Jemaah Menteri yang dikekalkan ialah Datuk Hajiji Mohd Noor dan Datuk Masidi Manjun.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Juhar disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi P. Ravinthran.

Turut mengangkat sumpah ialah barisan pembantu menteri seramai 18 orang.

Sembilan muka baharu dilantik sebagai pembantu menteri ialah Datuk Arifin Mohd Arif, Masiung Banah, Datuk Ramlee Marahaban, Datuk Zakaria Idris, Datuk Joachim Gunsalam, Datuk Hamisa Samad, Datuk Nilwan Kabang, Datuk Kamarlin Ombi dan Anita Baranting.

Pembantu menteri yang dikekalkan ialah Datuk Edward Yong Oui Fah, Datuk Ellron Angin, Datuk Michael Asang, Datuk Bobbey Ahfang Suan, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Datuk Sirin Karno, Datuk Musbah Jamli, Datuk Bolkiah Ismail dan Pang Yuk Ming.

BN Sabah melakar kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menyaksikan BN mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga, memperoleh 48 daripada 60 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri manakala pembangkang memenangi 12 kerusi berbanding tiga pada 2008.

Berikutan itu Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mengangkat sumpah jawatan buat penggal keempat Isnin lepas.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Musa serta isteri Datin Seri Faridah Tusin.
 
-BERNAMA

Gabungan Muka Baru dan Lama Kabinet Sabah Wujudkan Pasukan Yang Kukuh, Dinamik



KOTA KINABALU, 10 Mei- Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman menyifatkan barisan Kabinet negeri Sabah, yang menggabungkan muka lama dan baharu, sebagai pasukan yang kukuh, dinamik dan boleh bekerjasama bagi meneruskan perancangan dan pelaksanaan agenda dan dasar pembangunan negeri.

Musa yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri percaya pelantikan pemimpin, yang pernah menganggotai jemaah menteri sebelum ini, akan memastikan kesinambungan menerusi pengalaman mereka.

"Dalam masa yang sama, barisan muka baharu juga akan menyuntik idea-idea yang baharu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai menteri," katanya pada sidang media khas bagi mengumumkan portfolio anggota jemaah menteri negeri Sabah yang baharu di kediamannya di Sri Gaya, dekat sini.

Sebelum itu, anggota jemaah menteri Sabah menerima watikah pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri.

Musa berharap barisan jemaah menteri baharu itu dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-sebaiknya bagi memenuhi mandat dan kehendak rakyat sesuai dengan gagasan '1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan'.

Katanya barisan jemaah menteri itu turut dibantu barisan pembantu menteri yang juga menggabungkan muka lama dan baharu.

"Saya tekankan bahawa barisan jemaah menteri dan pembantu-pembantu menteri ini memerlukan sokongan dan dukungan daripada semua wakil rakyat BN.

"Sama ada kita terpilih dalam jemaah menteri dan pembantu menteri atau sebaliknya, sebagai wakil rakyat BN adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita untuk memberikan perkhidmatan dan pembelaan yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Musa berkata setiap wakil rakyat mempunyai peranan dan sumbangan yang penting bagi memastikan mandat rakyat dipenuhi, janji ditepati dan dilaksanakan dengan terbaik bagi membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat.

BN Sabah melakar kejayaan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menyaksikan BN mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga, memperoleh 48 daripada 60 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri manakala pembangkang memenangi 12 kerusi berbanding satu pada 2008.

Mengenai cadangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar beberapa wakil BN yang kalah dalam pilihan umum Ahad lepas diberi peluang untuk menjawat Anggota Dewan Undangan Negeri Dilantik, Musa berkata tidak ada cadangan untuk berbuat demikian buat masa ini tetapi sedia menimbangkannya jika ada keperluan.

Musa juga mengumumkan bahawa bekas Menteri di Jabatan Ketua Menteri Datuk Nasir Tun Sakaran, yang digugurkan daripada barisan Kabinet Sabah yang baharu, dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) berstatus menteri.

Berikut ialah senarai jemaah menteri Sabah dan pembantu menteri yang diumumkan ketua menteri hari ini:

JEMAAH MENTERI NEGERI SABAH

Ketua Menteri/Menteri Kewangan - Datuk Seri Musa Aman

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Infrastruktur - Tan Sri Joseph Pairin Kitingan

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Yahya Hussin

Timbalan Ketua Menteri/Menteri Pembangunan Perindustrian - Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan - Datuk Hajiji Noor

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar - Datuk Masidi Manjun

Menteri Tugas-Tugas Khas - Datuk Teo Chee Kang

Menteri Pembangunan Luar Bandar - Datuk Radin Malleh

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat - Datuk Siringan Gubat

Menteri Belia dan Sukan - Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna - Datuk Jainab Ahmad Ayid.

SENARAI PEMBANTU MENTERI NEGERI SABAH

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri

1. Datuk Edward Yong Oi Fah

2. Datuk Ellron Angin

3. Datuk Arifin Mohd Arif

Pembantu Menteri Belia dan Sukan

1. Masiung Banah

Pembantu Menteri Kewangan

1. Datuk Ramlee Marahaban

2. Datuk Michael Asang

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur

1. Datuk Bobbey Ahfang Suan

2. Datuk Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan

1. Datuk Zakaria Edris

2. Datuk Dr Joachim Gunsalam

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat

1. Datuk Hamisah Samat

Pembantu Menteri Menteri Pertanian dan Industri Makanan

1. Datuk Sairin Karno

2. Datuk Musbah Jamli

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian

1. Datuk Bolkiah Ismail

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar

1. Datuk Pang Yuk Ming

2. Datuk Kamarlin Ombi

Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna

1. Lasiah Baranting @ Anita



-BERNAMA