Kota Kinabalu (12 Mac 2013) - Prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan anggota keluarga pasukan keselamatan yang terkorban semasa Operasi Daulat, di Lahad Datu dan Semporna, Sidang Injil Borneo Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu (SIB.Bandaraya Kota Kinabalu) telah melancarkan kutipan bagi membantu keluarga pasukan keselamatan yang telah terkorban semasa operasi tersebut.


Menurut Pastor Rapheal Biun, Senior Pastor, SIB.Bandaraya Kota Kinabalu, "sumbangan dari gereja ini adalah sebagai penyataan kasih anggota-anggota gereja terhadap semua insan, terutama mereka yang terkorban untuk mempertahankan kedaulatan Negara". Tambah beliau lagi, "Sumbangan ini juga merupakan tanda sokongan pihak gereja kepada semua anggota Pasukan Keselamatan yang mengusahakan keamanan di Negara kita", kata beliau ketika menyampaikan sumbangan SIB.Bandaraya Kota Kinabalu kepada Tabung Kebajikan Polis DiRaja Malaysia. Sumbangan ini telah diterima oleh YDH SAC Datuk Tan Kok Liang, T/PJP Sabah.
Pihak SIB.Bandaraya Kota Kinabalu berharap usaha kutipan sumbangan ini dapat mendorong lebih ramai orang, khususnya dikalangan anggota Gereja Sidang Injil Borneo untuk tampil menghulurkan bantuan kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban, samada dalam bentuk kewangan dan sokongan doa.

SIB.Bandaraya Kota Kinabalu menyanjung tinggi pengorbanan Pasukan Keselamatan dalam menjaga keamanan dan kedaulatan Negara. Gereja ini komited mengusahakan kesejahteraan Negara Malaysia , dan sentiasa mendoakan keselamatan mereka yang berjuang mempertahankan keamanan Negara.




3 comments:
Organisasi keagamaan juga tidak lari dari menghulurkan bantuan yang ikhlas.patut contohi mereka.
Syukur atas pemberian mereka yang bermurah hati.
ramai yang menghulurkan sumbangan
Post a Comment