16 March, 2013

Keadaan Perairan Sandakan Terkawal-Alias

 
SANDAKAN: Pegawai Memerintah KD Sri Sandakan, Kepten Alias Baharuddin, berkata keadaan di perairan sekitar daerah ini adalah terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang berikutan insiden pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Tungku di Lahad Datu.

Menurut beliau, pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjalankan rondaan melibatkan kerjasama cukup padu dengan pasukan-pasukan keselamatan lain telah pun mengawal ketat sepanjang perairan.

Beliau berkata, kawalan secara rapi ini dibuat pada setiap masa untuk memastikan keselamatan perairan sentiasa terkawal daripada cuba diceroboh masuk anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

“Syukur alhamdulillah, buat masa ini pihak TLDM belum lagi bertembung atau terserempak dengan mana-mana pihak … keadaan adalah terkawal dan orang ramai tidak perlulah berasa bimbang.

“Anggota saya kini berada dalam keadaan siapsiaga apabila semua kapal-kapal TLDM sudah pun digerakkan untuk berkawal di sepanjang perairan … jadi, tidak perlu bimbang,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di KD Sri Sandakan, di sini, kelmarin.

Sebelum itu, beliau menerima sumbangan berupa makanan harian yang dihulurkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Sandakan, Datuk Liew Vui Keong.

Sehubungan itu, Alias meminta orang ramai supaya tidak mempercayai sebarang khabar angin sebaliknya menyerahkan kepada pasukan keselamatan untuk kesahihan sesuatu maklumat yang diterima.

Beliau sekali lagi memberi keyakinan akan ketumbukan pasukan keselamatan seperti TLDM yang akan terus memastikan keadaan aman di sepanjang perairan demi kedaulatan negara.

Liew pula berkata kesiapsiagaan anggota TLDM mampu membanteras apa jua kegiatan termasuk cuba menceroboh masuk ke perairan pantai timur negeri ini.

“Saya berpuas hati dengan semangat juang yang tinggi di kalangan anggota-anggota TLDM … mereka sudah siap bersedia demi kedaulatan negara. Oleh hal demikian, rakyat tidak perlu bimbang memandangkan keadaan keselamatan di perairan sangat terkawal.

“Ini kerana, pasukan TLDM yang bekerjasama dengan pasukan-pasukan lain sudah pun berkawal di sepanjang perairan,” ujarnya.New Sabah Times

5 comments:

jangan pula lepas ini semua pengawalan di kawasan perairan akan di kurang kan,harus di jaga sentiasa dan sepatutnya di banyakkan pengambilan anggota untuk mengawal perairan dan dikurang kan budget untuk lain-lain tapi pertahanan harus ditambah,harus mengambil anggota yang setia dengan negara kalau pemohon itu dari sabah.

Ya..setuju.bajet untuk pertahanan dan keselamatan negara harus ditambah memandangkan tahun ni tiada penambahan yang dibuat.

Anggota keselamatan yang berkawal diharap dapat jalankan tanggungjawab mereka dengan amanah.

keadaan buat masa ini masih terkawal

Post a Comment